Loading...
Thursday 21 February 2013

Jatuh, Bangun Semula Bukan Mudah

BUKAN mudah bagi Asmah (bukan nama sebenar), 41, menerima ketentuan Ilahi apabila terpaksa menempuh dua kali kegagalan dalam perkahwinan.
Tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku, malah ujian hidup itu diterimanya dengan hati terbuka.
Lantaran dugaan tersebut, dia kini bergelar ibu tunggal. Demi membesarkan tiga orang anaknya, Asmah pernah melakukan pelbagai pekerjaan daripada bekerja di hotel, jurujual hinggalah kepada tukang cuci bangunan demi memastikan dapurnya sentiasa berasap.
Asmah sedar tidak bekerja bermakna tidak makanlah anak-anaknya. Baginya, biar dia lapar jangan anak-anaknya, sesusah manapun hidupnya anak-anak tidak akan dibiarkan merempat.
Kini dia bersyukur kerana anak perempuan sulongnya akan melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihan hatinya hanya beberapa bulan sahaja lagi.
Dalam pada masa yang sama juga dia sentiasa berdoa semoga perkahwinan anaknya bahagia dan akan berkekalan sehingga akhir hayat.
Jelasnya, sebagai ibu, hanya itulah doa yang dapat dipohonnya kerana dia tidak mahu anaknya menerima nasib yang sama sepertinya dahulu.
Menyingkap cerita silam hidupnya, Asmah telah berkahwin dengan suami pertamanya, Salleh (bukan nama sebenar) ketika umurnya mencecah 20 atas dasar cinta.
"Kami berkenalan ketika sama-sama bekerja di sebuah pasar raya. Walaupun kami telah berkawan hampir dua tahun sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin, tetapi saya tidak pernah mengetahui bahawa dia merupakan seorang penagih dadah.
"Segalanya terbongkar selepas setahun berkahwin apabila seringkali melihatnya gemar bersendirian dalam bilik. Rupanya, ketika bersendirian, dia melepaskan giannya pada dadah jahanam itu," katanya.
Selain menagih dadah, Salleh juga seorang yang panas baran. Tubuh Asmah kerap menjadi sasaran sepak terjang suaminya apabila ada perkara yang tidak disenanginya.
"Sehinggalah pada suatu malam, apabila kami bertengkar mengenai sikapnya yang lepas tangan terhadap nafkah saya dan anak-anak. Dia tiba-tiba naik berang dan terus memukul saya sehingga menyebabkan beberapa bahagian badan mengalami kecederaan teruk dan lebam-lebam.
"Kerana tidak tahan dengan sikapnya itu, saya telah memohon cerai di pejabat agama, dan akhirnya kami bercerai ketika usia perkahwinan memasuki empat tahun," kata Asmah.
Katanya lagi, hasil perkongsian dengan Salleh mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.
Hidup Salleh pun tidak panjang apabila tidak lama selepas bercerai, dia jatuh sakit kerana menghidap HIV/AIDS.
"Saya bersyukur walaupun suami menghidap HIV/AIDS, saya dan kedua-dua anak saya bebas daripada penyakit tersebut dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.
Tambah Asmah, beberapa tahun selepas kematian Salleh, dia berkenalan dengan seorang lelaki di tempat kerja.
Selepas mengenali hati budi masing-masing hatinya terbuka lagi untuk berkahwin semula kerana yakin lelaki itu mampu membahagiakannya bersama anak-anak.
"Di awal perkahwinan, saya dapat lihat kemesraan dan kasih sayang yang ditonjolkan Amran (bukan nama sebenar) terhadap anak-anak.
"Dia sangat mengambil berat dan menjaga mereka seolah-olah seperti anaknya sendiri," katanya.
Asmah berkata, selepas dua tahun berkahwin, akhirnya dia disahkan mengandung dan berita tersebut diterima dengan perasaan teruja dan gembira oleh Amran.
"Namun, dalam tempoh beberapa bulan sebelum saya melahirkan anak ketiga, Amran tiba-tiba berubah perangai. Dia tidak lagi mesra dengan anak-anak seperti sebelum itu.
"Dia juga semakin lupa tanggungjawabnya sebagai suami. Nafkah untuk kami sekeluarga juga tidak diberikan seperti terdahulu, sayalah yang terpaksa menanggungnya seorang diri
"Sebulan sebelum saya bersalin, Amran telah mengambil keputusan untuk pulang ke kampungnya dan meninggalkan saya dan anak-anak.
"Perasaan sedih ketika itu tidak dapat dibayangkan kerana dalam tempoh menunggu waktu untuk bersalin sepatutnya dia ada bersama-sama dengan saya untuk memberi sokongan, tetapi sebaliknya yang berlaku.
"Walaupun kami masih suami isteri ketika itu, dia langsung tidak datang melawat saya dan anak yang baru dilahirkan ketika itu.
"Sudah buntu saya memikirkan perubahan sikapnya itu menyebabkan jiwa saya sangat memberontak dan tidak tenteram ketika berada di dalam pantang," kata Asmah.
Ujarnya lagi, selepas setahun dia menggantung dirinya tidak bertali, akhirnya sekali lagi dia terpaksa akur dengan ketentuan Ilahi kerana perkahwinan kali keduanya juga tidak kekal dan musnah di tengah jalan.
"Selepas setahun berlalu, suami tidak pernah pulang dan bertanya khabar tentang kami anak-beranak. Akhirnya saya mengambil keputusan membuat permohonan bercerai di pejabat agama buat kali kedua ," katanya.
Ketika mengakhiri perbualan, Asmah mengakui dia kini serik dan tidak mahu lagi memikirkan soal jodoh mahupun berkahwin lain.
Baginya bukan senang untuk mencari seorang lelaki yang sanggup menerima anak-anaknya dan memperlakukan mereka seperti anak sendiri.
sumber :- © Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments:

Post a Comment

 
TOP