Loading...
Sunday, 12 March 2017

AADK digesa gunakan pendekatan Inabah

Ahmad Zaid merasmikan pelancaran Modul Isra' berasaskan Model Inabah semasa lawatan kerja beliau ke CCRC Sungai Ruan, di sini hari ini.


RAUB - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) digesa agar memperluaskan lagi penggunaan pendekatan modul Islamic Spiritual Rehabilitation Approch (ISRA) berasaskan Model Inabah atau kerohanian keagamaan dalam memulihkan penagih dadah untuk jangka masa panjang.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu terbukti berjaya memulihkan penagih dadah selepas pelaksanaannya antaranya di Cure & Care Rehabilitation Centre (CCRC) Sungai Ruan dekat sini sejak tahun 2015.


Menurutnya, modul itu mampu menjadi alternatif bagi memulihkan penagih dadah kepada kaedah konvensional dilaksanakan sebelum ini seperti pemberian metadhone yang memberi kesan lain antaranya menyebabkan ketagihan baru.


"Saya akan mencari peruntukan untuk melaksanakan konsep inabah di CCRC lain sekiranya kerajaan tidak dapat menyediakannya, saya akan meminta bantuan organisasi atau individu untuk memerangi jenayah dadah ini.


"Kita tidak mahu penagih dadah terbiar begitu sahaja dan kita mahu menjadikan mereka sebagai aset negara," katanya dalam ucapan sempena lawatan kerja ke CCRC Sungai Ruan, di sini  hari ini.


Turut hadir dalam program itu, Ketua Pengarah AADK Malaysia, Datuk Dr. Abdul Halim Mohd Hussin, dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Alwi Ibrahim.


Dalam pada itu,Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, usaha untuk memerangi serta membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah itu harus membabitkan semua pihak bermula dari sendiri, ibu bapa dan agensi-agensi yang lain.


"Saya mohon kerjasama daripada semua pihak untuk membantu saya memerangi jenayah dadah," katanya.


Menurutnya, masalah sosial seperti penagihan dadah harus diatasi sebelum hasrat negara untuk menjadi antara 20 negara terkemuka dalam pelbagai bidang menjelang 2050 iaitu menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50).


Tidak ada gunanya sekiranya pada waktu berkenaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pendidikan, inovasi dan kreativiti kita dalam kedudukan 20 terbaik dunia tetapi masalah penagihan terus berlaku.


"Bangsa kita rosak dan kebejatan sosial terus berlaku, kita harus bantu Perdana Menteri...kalau tidak bantu, kita tidak boleh mencapai matlamat TN50," katanya.

#perangidadahhabishabisan
#dadahkesannyamembinasakan
#pencegahandadahbermuladarirumah
#sayangidirimu
#aadkselangor


0 comments:

Post a Comment

 
TOP