Antara penagih yang ditahan dalam dua operasi berbeza di Teluk Muroh dan Lekir.
SERI MANJUNG - Seorang ibu sanggup meninggalkan anak kecilnya berusia setahun lapan bulan sendirian di rumah kerana mahu melepaskan gian menagih dadah.
Wanita berusia 36 tahun itu bagaimanapun ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri dalam operasi di sebuah rumah di Teluk Muroh di sini, kelmarin.
Seorang lagi rakannya berusia 32 tahun turut ditahan bersama anak lelakinya berusia 11 tahun yang dibawa bersama ke tempat penagihan berkenaan.
Dia dilihat menangis kerana takut dihantar ke pusat pemulihan dan perlu berpisah dengan anaknya.
Penolong Pengarah Penguatkuasaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri, Mokhtaruddin Mohamad berkata, seramai sembilan individu ditahan termasuk dua wanita berkenaan dalam dua serbuan berasingan di Lekir dan Teluk Muroh.
Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 49 tahun, didapati positif dadah setelah ujian air kencing dilakukan.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati wanita berusia 36 tahun itu baru terlibat dengan aktiviti penagihan dadah sejak dua minggu lalu dan dia mengatakan baru pertama kali ke lokasi di Teluk Muroh berkenaan.
“Manakala rakannya baru saja tamat pengawasan AADK dua bulan lalu, namun masih tidak berubah sikap dan terlibat dengan gejala dadah,” katanya.
Beliau berkata, operasi bermula jam 9 pagi dan berakhir 3 petang itu melibatkan kekuatan 13 anggota AADK negeri dan daerah Manjung.
“Seramai enam individu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (APD) 1983, dua di bawah Seksyen 6(3) APD 1983 dan seorang mengikut Seksyen 8(3)(a) APD 1983,” katanya.
#PerangiDadahHabisHabisan
#DadahKesannyaMembinasakan
#PencegahanDadahBermulaDariRumah
#SayangiDirimu
#AADKSelangor
0 comments:
Post a Comment