Kakitangan AADK Daerah Tampin ketika meninjau lokasi yang dipercayai menjadi sarang penagih di Felda Jelai 2, untuk dibersihkan sempena Program My Beautiful Malaysia, kelmarin.
GEMAS - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Tampin mengambil langkah proaktif membersihkan sarang penagih di kawasan Felda Jelai 2, sempena Program My Beautiful Malaysia, di sini, kelmarin.
Ketua Pegawai AADK Tampin, Ahmad Iqram Jalis berkata, kawasan Felda Gugusan Jelai merupakan lokasi yang terpilih dalam Kempen Perangi Dadah Habis Habisan 2.0 pada tahun ini,
justeru menjadi tanggungjawab AADK memastikan sasaran kempen tercapai di lokasi berkenaan.
Menurutnya, program yang dilaksanakan secara pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu dengan penglibatan Rela dan
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), bukan hanya membersihkan lokasi tumpuan seperti masjid, kubur dan lain-lain lagi, bahkan membersihkan lokasi yang menjadi tempat lepak penagih.
“Terdapat empat sarang yang kita bersihkan dan lokasinya terdapat di dalam kawasan kelapa sawit tidak jauh dari penempatan Felda.
Semasa membersihkan lokasi ini kita menjumpai jarum suntikan dan plastik-plastik yang kita percaya merupakan bekas alatan mahupun menyimpan dadah.
“Malah apa yang menyedihkan lagi, kita turut menemui botol-botol dipercayai botol arak yang dipanggil arak suku, boleh didapati dengan harga murah.
“Susulan penemuan barangan ini kita telah membakar kesemuanya dan berharap agar lokasi ini tidak menjadi sarang penagihan semula,” katanya sempena program berkenaan semalam.
Ahmad Iqram berkata, pihaknya turut berharap dapat mengubah persepsi masyarakat mengenai Felda terutama pandangan negatif menyatakan tanah rancangan sebagai lubuk penagih dadah,
memandangkan ramai anak Felda yang juga turut berjaya mengharumkan nama negara baik dalam bidang sukan, akademik mahu pun bidang lain.
Menurutnya, melalui kempen diadakan di Felda Gugusan Jelai itu, pihaknya turut melaksanakan enam strategi untuk memastikan tiada penagih baharu dicatatkan di Felda dan individu yang mendapat rawatan di bawah AADK dapat kekal pulih daripada najis dadah.
“Di Felda Jelai 2 ini saja seramai 56 orang kena pengawasan (OKP) direkodkan berusia 16 hingga 59 tahun.
"Kita sentiasa memantau OKP ini termasuk yang paling muda dan sudah tidak bersekolah.
"Kita harap mereka ini akan dapat membebaskan diri mereka dari ketagihan dadah dan sentiasa bersama AADK,” katanya.
#PerangiDadahHabisHabisan
#DadahKesannyaMembinasakan
#PencegahanDadahBermulaDariRumah
#SayangiDirimu
#AADKSelangor
0 comments:
Post a Comment