Loading...
Sunday, 17 February 2019

Jangan Tahan Anak Aku!!



Kuantan: Kerana terlalu sayangkan anak, seorang bapa bertindak ganas dengan menyerang anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pahang yang cuba menahan lelaki itu menggunakan parang di Bukit Sagu, di sini, kelmarin.


Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, lelaki berusia lewat 50-an berkenaan berang selepas anggota AADK mencari anaknya di rumah untuk pemeriksaan air kencing sebelum mengeluarkan kata-kata kesat.

Tidak berpuas hati dengan penerangan anggota penguat kuasa, lelaki itu mengambil parang panjang dan menyerang anggota AADK, namun mangsa berjaya mengelak dan terjatuh.


Sumber AADK Pahang berkata, lelaki itu kemudian terus bertindak agresif dengan sekali lagi cuba menetak mangsa sebelum tindakannya berjaya dihalang beberapa anggota AADK yang berada di lokasi kejadian.

“Dia (bapa penagih) bertindak seperti orang hilang akal apabila kami memberitahu mahu menjalankan pemeriksaan ke atas anaknya yang dipercayai terbabit gejala penagihan dadah.

“Malah, apabila kami cuba berbincang secara baik, dia seolah-olah mencabar kami sebelum mengambil parang dan menyerang anggota bertugas,” kata sumber itu ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Berikutan kejadian itu, mangsa lelaki berusia 33 tahun mengalami kecederaan di bahagian bahu akibat terjatuh ketika diserang lelaki berkenaan.


Sumber itu berkata, bagaimanapun anak kepada lelaki berkenaan yang berusia 31 tahun itu berjaya ditahan anggota AADK, manakala bapanya terus melarikan diri sebaik melihat kelibat anggota AADK yang semakin ramai.

“Pihak AADK turut membuat laporan di Balai Polis Indera Mahkota kerana tindakan lelaki berkenaan yang cuba menyerang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Pahang Rizal Sea’at menegaskan, pihaknya menjalankan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada membabitkan kejadian anggota AADK diserang itu.

“Dalam operasi yang dijalankan selama tiga hari di Pekan dan daerah ini, seramai 134 individu ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dan candu,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan yang ditahan berusia 16 hingga 55 tahun dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

sumber

0 comments:

Post a Comment

 
TOP