Ketua Pengarahnya, Datuk Zuraidah Mohamed berkata, pada masa ini sebanyak 62 CCH iaitu pusat khidmat harian yang disediakan masyarakat setempat, diwujudkan di seluruh negara.
  
Beliau berkata, penambahan CCH itu bertujuan memastikan pesalah guna dan penagih dadah diberi peluang mendapatkan program rawatan dan pemulihan di dalam komuniti.
  
"Penubuhan CCH ini selaras dengan transformasi AADK untuk menggalakkan penglibatan penduduk setempat menjalankan aktiviti kemasyarakatan bagi mencapai matlamat komuniti bebas dadah," katanya kepada pemberita selepas melawat CCH Padang Temu di sini, hari ini.
  
Beliau berkata, pusat itu juga akan membantu pihak berkuasa dalam mengurangkan masalah jenayah jalanan.

Zuraidah berkata seramai 106,713 pesalah guna dan penagih dadah mendapat perkhidmatan di 62 CCH di seluruh negara sehingga Disember tahun lepas.
  
Beliau berkata jumlah itu membuktikan masyarakat telah bersedia dan terbuka dalam membantu memulihkan golongan berkenaan.
   
Sementara itu, beliau berkata statistik bagi Orang Kena Pengawasan (OKP) seluruh negara sehingga 31 Disember 2012 ialah 52,925 orang.
  
Seramai 510,041 orang pula mendapatkan perkhidmatan di Pusat Khidmat Pulih dan Prihatin (CCSC) dalam tempoh sama, katanya. - Bernama