Loading...
Thursday 28 February 2013

Kesan 79 kesalahan pengguna jalan raya

KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis trafik berjaya mengesan sebanyak 79 kes kesalahan membabitkan motosikal dan kereta dalam Operasi Khas Motosikal di Jalan Teluk Sisek, malam kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa JPJ Pahang, Mohd Johari Mat Nor berkata, dalam operasi lebih tiga jam itu sebanyak tujuh motosikal dan empat kereta disita kerana cukai jalan tamat tempoh.

Menurutnya, kesalahan lain yang berjaya dikesan ialah tamat tempoh lesen memandu, kesalahan cukai jalan, cermin sisi dan nombor plat yang tidak mengikut spesikasi JPJ.

“Kesalahan yang dikesan dalam operasi malam ini kebanyakannya membabitkan lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya selepas operasi bersepadu bersama Polis Trafik, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Rela, semalam.

Beliau berkata, kebanyakan pemandu yang ditahan berusia awal 20-an hingga 30-an dan mereka turut menjalani ujian air kencing.

Bagaimanapun, peluang untuk mereka melarikan diri tipis kerana anggota Rela dan JPJ ditempatkan di beberapa lorong kecil di kawasan itu.

“Mereka tidak boleh melarikan diri kerana kita sudah bersedia dan menempatkan anggota Rela dan JPJ di lorong kecil di belakang bangunan sekitar kawasan ini,” katanya.

Dalam operasi sama, seorang lelaki berusia 31 tahun dikesan positif tiga jenis dadah dan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut.

“Kita akan menjalankan operasi dari masa ke masa bagi membantu mengurangkan kes membabitkan motosikal kerana umum juga sedia maklum 60 peratus kemalangan maut membabitkan kenderaan itu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
TOP