Loading...
Sunday 3 March 2013

Nasib bekas penagih dadah

Mengimpikan kehidupan normal sama seperti individu lain selain mendapat tempat dalam kalangan masyarakat setempat, itu antara impian dua bekas penagih dadah, di sini, walaupun perasaan sangsi untuk berhadapan dengan dunia luar masih ada.

Detik hitam selama lebih 20 tahun lalu sememangnya disesali mereka lebih-lebih lagi salah seorang daripadanya tidak sempat menatap wajah bapa yang menghembus nafas terakhir sekitar 2008.

Anak kelima daripada enam beradik, Sazali (bukan nama sebenar), 36, berkata, pusara ayahnya menjadi lokasi pertama dilawati selepas keluar dari penjara pada 2010.

“Di situ tempat pertama saya tuju setelah sampai di kampung. Saya menangis sepuas-puasnya sebab saya betul-betul terkilan dan menyesal.  Hanya doa yang mampu saya kirimkan buat arwah bapa dan nekad untuk meninggalkan najis dadah buat selama-lamanya.

“Sebolehnya, saya tidak mahu lagi terjebak tetapi rasa takut untuk berhadapan dengan masyarakat itu masih ada,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, dia bersyukur apabila keluarga terutama  ibunya  sentiasa memberi sokongan.

“Saya gembira melihat emak dan pernah menegur, ‘mak dah gemuk ya...’. Sebenarnya mak senang hati dengan keadaan saya sekarang ini,” katanya sambil tersenyum.

Sementara itu, bapa kepada tiga cahaya mata, Johari (bukan nama sebenar), 34, mengakui kesilapannya, walaupun sedar pengambilan barang terlarang itu salah.

“Saya mula terjebak ketika remaja, iaitu seawal 16 tahun. Ketika itu, keinginan untuk mencuba membuak-buak lalu mendorong saya mencuba dadah jenis heroin.

“Saya berharap, masyarakat di luar sana dapat menerima dan memberi sokongan kepada bekas penagih untuk berubah. Bukannya disisihkan kerana tindakan itu hanya akan memburukkan lagi keadaan.

“Saya juga ingin menjadi seperti orang lain, iaitu bekerja dan hidup normal,” katanya.

Razali dan Johari antara residen yang sedang menjalani proses rawatan dan pemulihan di Pusat Khidmat Pulih dan Prihatin (Cure N Care Service Centre), di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah yang datang secara sukarela setelah tidak mampu menahan ketagihan dadah.

0 comments:

Post a Comment

 
TOP