Loading...
Saturday, 2 March 2013

Pusat hiburan, hotel diserbu

PETALING JAYA – Seramai 56 orang ditahan dalam Operasi Menangani Gejala Sosial sempena Hari Kekasih awal pagi semalam di beberapa tempat di sekitar Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya.

Operasi bersepadu dijalankan itu diketuai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.

Operasi tersebut disertai oleh 102 anggota serta pegawai oleh semua agensi berkenaan.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 12 tengah malam hingga 4 pagi itu, 40 lelaki dan 16 perempuan berusia lingkungan 19 hingga 45 tahun ditahan kerana berkhalwat di hotel serta didakwa minum minuman keras di pusat hiburan.

Penolong Pengarah Perundangan dan Kesalahan Bahagian Penguatkuasaan Jais, Shahrum Maarof berkata, 56 orang itu ditahan dalam serbuan dijalankan ke atas empat pusat hiburan dan enam hotel bajet.

“Dalam serbuan kita jalankan hari ini (semalam) di empat pusat hiburan dan enam hotel bajet di sekitar kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut, kita menahan 56 orang kerana kesalahan berkhalwat, minum minuman keras dan tidak memiliki permit serta positif dadah.

“Daripada jumlah itu, 29 ditahan kerana khalwat manakala 21 di pusat hiburan,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, mereka yang ditahan berkhalwat itu akan disiasat mengikut Seksyen 29 (1) a dan b Enakmen Jenayah Syariah Selangor 9 1995.

Katanya, mereka yang ditahan di pusat hiburan akan diarahkan untuk mengikuti program Ajaran Mengikut Amalan Rasulullah (Amar).

“Operasi kita jalankan kali ini adalah lebih memfokuskan usaha untuk mendidik mereka yang melakukan kesalahan.

“Bagi mereka yang perlu hadir ke program Amar itu mereka perlu berbuat demikian pada pertengahan Mac akan datang,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
TOP