Loading...
Tuesday 9 April 2013

Bekas doktor edar dadah


Johor Bahru: Polis menahan seorang lelaki yang juga bekas doktor kerana disyaki menyimpan dan mengedar dadah di rumahnya dalam serbuan dekat Taman Pelangi, di sini.

Dalam serbuan kira-kira jam 2.45 petang Sabtu itu, polis menemui 4,800 pil psikotropik (ubat penenang) bernilai RM240,000 selain turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Altis dan wang tunai RM5,000.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 63 tahun itu dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran pil psikotropik sejak beberapa tahun lalu.

Kesan suspek lain 

“Nilai rampasan keseluruhan adalah RM300,000 dan kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek lain yang turut terbabit.

“Hasil pemeriksaan, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan akan ditahan reman seminggu. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Dalam kes berasingan, Mokhtar berkata, pihaknya menumpaskan sindiket pengedaran pil ecstasy dan dadah, yang menggunakan bersenjata api dalam dua serbuan berasingan di sebuah rumah di Permas Jaya, Khamis lalu.
Katanya, dalam serbuan pertama kira-kira jam 5 pagi di Bandar Baru Permas Jaya, polis merampas 1,648 gram dadah disyaki serbuk ecstasy, 5.1 gram syabu, 9.5 gram ketamin dan sembilan biji ecstasy bernilai RM414,200.

Rampas 13 bom tangan 

“Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 13 bom tangan buatan sendiri dan tiruan selain tiga pistol, empat pistol tiruan dan pistol mainan, alat pemanah, 451 butir peluru, gari serta pelbagai peralatan senjata api.

“Dua suspek lelaki berusia 32 dan 44 tahun ditahan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 39B dan 15 (1(a) serta 32 Akta Dadah Berbahaya 1988,” katanya.

Mokhtar berkata, seorang wanita warga asing berusia 37 tahun ditangkap dalam serbuan kedua kira-kira jam 3.30 petang di Taman Bayu Putri dan merampas 1,878 pil ecstacy, 1,367 erimin 5, dan 24.9 gram ketamin bernilai RM135,410.

0 comments:

Post a Comment

 
TOP