Loading...
Sunday 12 March 2017

Dua lelaki leka bungkus daun ketum ditahan

Daun ketum siap dibungkus yang ditemui hasil serbuan AADK di sebuah ladang getah di Kampung Bendang Besar, dekat Jedok, Tanah Merah - Foto ihsan AADK


TANAH MERAH - Dua lelaki sedang leka membungkus daun ketum ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam serbuan di sebuah ladang getah di Kampung Bendang Besar, Jedok, dekat sini.


Dalam serbuan jam 4 pagi itu, AADK merampas kira-kira 350 kilogram daun ketum, 4.5 liter cecair dipercayai air ketum, sebanyak 43 pil disyaki dadah jenis pil kuda dan satu pil jenis Erimin 5.


Ketua Pegawai AADK Tanah Merah, Yaacob Mohd Daud berkata, lelaki berusia 35 dan 40 tahun itu ditahan pasukan serbuan yang terdiri daripada tiga pegawai dan enam anggota AADK daerah ini.


"Ketika serbuan, dua lelaki terbabit sedang leka membungkus daun ketum di bawah khemah di tengah-tengah ladang getah berkenaan.


"Siasatan awal mendapati, daun ketum yang dibungkus ini dipercayai untuk edaran di kawasan sekitar dan juga dipasarkan ke negara jiran," katanya, hari ini.


Menurutnya, serbuan dibuat sempena Ops Tapis di bawah program Perangi Dadah Habis-Habisan 2017 AADK daerah ini.


"Dalam operasi sama, kita menahan 10 penagih termasuk seorang warga Thailand yang memiliki pil dipercayai dadah jenis pil kuda dan Erimin 5.


"Hasil  ujian saringan awal air kencing, semua mereka yang ditahan dalam operasi ini didapati positif dadah jenis methamphetamine.


"Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Dadah 1983, manakala bagi kesalahan memiliki dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," jelasnya.


Sementara itu, Ketua Operasi berkenaan, Basri Manshor berkata, kejayaan operasi hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah Tanah Merah dan Balai Polis Batu Gajah.


"Kerjasama sebegini amat diperlukan pada masa hadapan dalam usaha membanteras penagihan dan pengedaran dadah menerusi program Perangi Dadah Habis-Habisan 2017 peringkat negeri ini," katanya.    

#PerangiDadahHabisHabisan
#DadahKesannyaMembinasakan
#PencegahanDadahBermulaDariRumah
#SayangiDirimu
#AADKSelangor


0 comments:

Post a Comment

 
TOP