Loading...
Sunday 12 March 2017

Pil disyaki dadah ditabur atas lantai

Seramai 140 individu termasuk 29 wanita ditahan AADK dalam dua serbuan di pusat hiburan awal pagi tadi.


GEORGETOWN - Seramai 140 individu termasuk  29 wanita yang sedang leka berhibur ditahan dalam operasi di dua buah pusat hiburan di sini, awal pagi tadi.


Serbuan yang dibuat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Imigresen Pulau Pinang (JIPP) itu di buat di dua lokasi, Pulau Tikus dan Relau.


Ketua Penguatkuasa dan Keselamatan AADK Pulau Pinang, Nasru'd-din Abdul Rahman, berkata, operasi bersepadu itu dijalankan bermula jam 12.30 tengah malam bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah.


Menurutnya, ketika serbuan, ada beberapa pengunjung pusat hiburan berkenaan cuba bersembunyi dan melarikan diri namun berjaya ditahan.


"Ketika serbuan, mereka sedang leka berhibur dan apabila menyedari kehadiran anggota penguatkuasa, mereka cuba melarikan diri namun gagal. Seramai 180 orang diperiksa termasuk menjalani ujian saringan air kencing. Dari jumlah itu, 140 daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine, ganja dan morfin.


"Semasa serbuan di Pulau Tikus, ada tentangan dari pengunjung tetapi keadaan dapat dikawal. Dalam pemeriksaan di situ, kita menjumpai pelbagai jenis disyaki dadah iaitu ketamin, eramin 5 dan juga pil ekstasi. Kita dapati, pil-pil ini di tabur dan di selerakkan diatas lantai dalam pusat hiburan tersebut," katanya.


Nasru'd-din berkata, tujuan operasi itu diadakan bagi mengenalpasti orang yang disyaki sebagai penagih dadah dan mengesan orang kena pengawasan yang telah melanggar syarat-syarat pengawasan.


"Kita mengenalpasti mereka yang disyaki sebagai penagih dadah yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31 Akta Penagih Dadah 1983. Selain itu, operasi ini bagi mengesan mereka yang gagal hadir ke mahkamah yang mana mereka telah mendapat jaminan mahkamah.


"Kita juga mengesan mereka yang gagal menghadirkan diri selepas mendapat jaminan AADK. Semua yang ditahan berusia antara 22 hingga 55 tahun dibawa ke pejabat AADK negeri untuk tindakan lanjut," katanya.


Menurutnya, selain itu, seramai 38 warga asing pelbagai warganegara turut ditahan dalam operasi tersebut.


"Mereka yang berusia 20 hingga 45 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.


"Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke depo tahanan di Juru untuk tindakan lanjut," katanya.

#PerangiDadahHabisHabisan
#DadahKesannyaMembinasakan
#PencegahanDadahBermulaDariRumah
#SayangiDirimu
#AADKSelangor



0 comments:

Post a Comment

 
TOP