Loading...
Monday 18 February 2019

Janji Banteras Gejala Sosial Itu Janji Ahli PKR

CALON PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mahu memastikan masalah gejala sosial terutama penyalahgunaan dadah dibanteras di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.


Selain penyalahgunaan dadah, masalah hamil luar nikah dan mental membabitkan pelbagai lapisan usia termasuk remaja belasan tahun itu turut berlaku di kawasan itu.

Beliau akan membawa isu itu kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian bersesuaian sekiranya diberi mandat oleh rakyat kelak.

“Bagi kawasan DUN ini, memang ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu persendirian yang membuka pusat pemulihan akhlak dan rumah perlindungan untuk golongan bermasalah termasuk berkaitan dadah.

“Saya akan berbincang dengan kerajaan negeri atau EXCO berkaitan mengenai bentuk bantuan yang sesuai bagi membantu pusat seumpama itu supaya ia tidak bertindan dengan agensi kerajaan sedia ada seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Apa yang penting adalah memastikan gejala tidak sihat seumpama itu terutama membabitkan belia berusia belasan tahun, dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) Darussolihin, Jalan Kebun di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Pengasas merangkap Mudir pusat itu, Hairul Mohit dan wardennya, Mohd Ridzuan Samsudin.


Mohd Zawawi turut mencadangkan satu pusat khas dibina berikutan terdapat lebih 20 pusat pemulihan seumpama itu di negeri ini.

Dalam perkara berasingan, beliau juga mahu menjadikan DUN Sungai Kandis sebagai bandar dan desa selamat menerusi pelaksanaan pelbagai program berkaitan terutama membabitkan pencegahan jenayah di lokasi tertentu.

“Langkah yang boleh dilaksanakan antaranya menyediakan lebih pencahayaan (lampu jalan) di lorong gelap, papan tanda lokasi kejadian jenayah dan menempatkan balai polis bergerak,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, PPDP berkenaan memerlukan bantuan dana bagi menguruskan seramai 76 penghuni yang berusia 13 hingga 63 tahun.

“Purata perbelanjaan bulanan berjumlah RM15,000 dan kini kami beroperasi dengan bantuan dana sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak berkaitan lain,” katanya memaklumkan pihaknya turut mendapat kerjasama daripada AADK.

sumber

 

0 comments:

Post a Comment

 
TOP