Loading...
Saturday 6 April 2013

Shafie bawa cadangan Semporna dimasukkan dalam ESSCOM ke Kabinet


PUTRAJAYA: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan membawa cadangan untuk memasukkan daerah Semporna dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ke mesyuarat Kabinet.

Mohd Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna berkata pembentukan ESSCOM yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 Mac lalu merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu, untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur Sabah, namun tanpa daerah Semporna.
"Dalam pengumuman pembentukan ESSCOM yang akan menempatkan satu batalion terdiri daripada pasukan polis dan tentera, ia tidak termasuk kawasan saya (Semporna). Jika anda sedar, Semporna merupakan kawasan yang mudah terdedah kepada aktiviti lanun sejak 1963.

"Selain itu, saya tak nak Semporna menjadi kawasan yang menjalankan aktiviti subversif seperti penyeludupan senjata dan dadah dari negara jiran dan ini perlu dibanteras," katanya selepas melancarkan Garis Panduan Kewangan dan
Perakaunan Syarikat milik agensi di bawah kementerian di sini hari ini.

Mohd Shafie turut menyambut baik pewujudan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) yang meliputi 10 daerah termasuk daerah Semporna yang diisytiharkan Najib.

"Dari segi keselamatan, pewujudan ESSZONE merupakan berita baik untuk meningkatkan daya upaya dalam sistem pertahanan di persisir pantai timur Sabah. Kawasan-kawasan ini agak dekat dengan negara jiran dan mudah dibolosi. Selain itu, perairan yang terbuka juga sukar dipantau," katanya.
Semalam, Najib mengisytiharkan pewujudan ESSZONE meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, sebagai asas perundangan kepada ESSCOM. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
TOP